::PENGENALAN::

'HOSTEL INC' adalah singkatan bagi 'HOSTEL INCORPORATION' yang boleh didefinisikan sebagai 'PENGGABUNGAN ASRAMA'.Penggabungan asrama ini membawa maksud kesepakatan pelajar asrama yang boleh membentuk sebuah komuniti.Blog ini dibina bagi dimanfaatkan oleh pelajar yang tinggal di asrama,ingin tinggal di asrama ataupun pernah tinggal di asrama secara khususnya.Di blog ini anda boleh berbincang, menyelesaikan persoalan,ataupun menyumbang pendapat yang merangkupi aspek asrama ataupun persekolahan anda.Peroleh pelbagai maklumat,tips-tips ataupun pengajaran dari HOSTEL INC ini...Semoga Berhibur di HOSTEL INC...Terima Kasih

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan keluarga serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara

ASRAMA GEMILANG

Kehidupan Di Asrama Cemerlang
Melahirkan Pelajar Gemilang
Amalkanlah Erti Persemi Kata
Untuk Kemajuan Insan Semua

Kemajuan Takkan Datang Sendiri
Andai Kita Tak Usaha Mencari
Oleh itu Wahai Insani
Kita Tanamkan Tekad Di Hati

Kalau Kita Mengejar Kemajuan
Jangan Lupa Rabbul Izzati

Perpaduan Takkan Datang Sendiri
Andai Al-Quran Tak Dihayati
Mari Kita Bersatu Hati
Kearah Asrama Yang Harmoni

Amalkanlah Sunnah Rasul Mulia
Lupakanlah Segala Sengketa Lama
Hubungkan Kembali Ikatan Mesra
Supaya Kita Hidup Aman Sentosa

NILAI-NILAI MURNI

TEGUH MENGHAYATI TAUFIK DAN HIDAYAH ALLAH BERLANDASKAN KECEMERLANGAN

IMBANGAN IMAN AMAL KEGIGIHAN USAHA UNTUK ILMU PENINGKATAN KEPERIBADIAN LUHUR

MELALUI:

BERANI
IKRAM
ILTIZAM
MUHASABAH DIRI
KEKUATAN MUNAJAT
KESYUKURAN

Saturday, May 3, 2008

Tazkirah Remaja: Perlu tahu urus masa


MASA boleh dikatakan sebagai senjata tajam, amat bermanfaat dan menguntungkan manusia, sekiranya digunakan dengan baik dan betul. Sebaliknya, jika tidak betul atau tidak cermat cara penggunaannya, ketajamannya akan memakan diri.


Bagi sesetengah orang, ia diibaratkan dengan pedang, jika tidak digunakan untuk mencantas, ia akan memotong diri.

Remaja yang tidak tahu memanfaatkan masa akan mewarisi seribu ketinggalan sama ada dalam pelajaran, pemikiran, pergaulan, teknologi, politik dan agama.


Bukan sekadar tertinggal di belakang saja, malah dia berdepan segala keburukan akibat ketajaman masa yang silap penggunaan, akhirnya memotong dan mencantas peribadi manjadi tidak bermoral dengan lepak, menjadi penyamun dengan memeras, membunuh dan segala kerosakan lain.


Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa, bukan sekali dua, malah berpuluh kali sehingga ada satu surah dalam al-Quran yang dipanggil dengan surah al-Asr (Masa).


Bukan itu saja, malah Allah menghantar dua malaikat kepada manusia untuk mencatat segala yang dilakukan individu pada setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun hingga ke akhir hayat manusia.


Rasulullah memberikan peringatan kepada kita, bagaimana memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.


Masa muda jangan dipersia-siakan kerana ia masa yang penuh dengan kecergasan fizikal dan mental.


Kecergasan ini sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sebab apa yang akan terjadi pada hari tua ditentukan mengikut apa yang kita lakukan ketika muda.


Masa muda tidak bertahan lama dan apabila tiba masa tua keremajaan hanyalah kenangan. Masa tua adalah segalanya, kadangkala tidak indah, tenaga sudah lemah, selera sudah menurun dan dilanda sakit-sakit.


Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas gemilang, manakala remaja yang kecundang menguruskan masa muda akan menjadi warga tua malang. Tidak selesai di dunia saja, malah di akhirat akan dipersoalkan umur remaja, bagaimana dilaluinya?


Kesihatan adalah nikmat sangat berharga. Badan kita adalah milik Allah. Wajib kita menjaga amanah ini. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri ke dalam ‘kebinasaan.’


Ramai yang tidak menghargai nikmat ini dan buktinya ramai kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ketagihan rokok dan alkohol serta lumba haram, yang akhirnya membawa kecacatan dan kesengsaraan.


Ingatlah hidup tidak selesai di sini saja. Malah, di akhirat nanti akan ditanya kesihatan kita bagaimana ia digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya? Badan sihat bukan digunakan untuk menyamun, merompak, memeras dan meragut.


Badan saja besar, main bola boleh sampai berjam-jam, tetapi solat beberapa detik tidak larat. Berjaga malam dan berkaraoke sampai pagi mudah saja, tetapi untuk solat Subuh hanya dua rakaat terus lentok. Ingatlah akhirat nanti akan ditanya.


Kekayaan tidak kekal, malah ia boleh bertambah dan hilang musnah sekelip mata. Justeru kekayaan adalah amanah, mendapat dan menggunakannya mengikut peraturan Allah.


Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan dilaknat dan diazab atau pun tidak menjadi Tha’labah yang kaya tetapi subur dengan kebakhilan.


Barang diingat kekayaan adalah alat dan kemudahan untuk mencapai kebaikan atau keburukan. Dengan harta kita menjadi dermawan, dengan harta juga memudahkan kita menjadi tamak wang, dengan harta boleh ke syurga. Ke neraka pun terkadang bermodalkan harta.


Peluang terakhir yang amat penting dan tidak mungkin dicuaikan ialah masa hidup sebelum mati.


Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedia dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (kenikmatan) selepas mati.”


Demikianlah lima kesempatan masa yang mesti dijawab oleh manusia. Menjawab bukan dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan amalan.

No comments:

.::PEMBERITAHUAN::.

Anda turut boleh memuatkan aktiviti-aktiviti yang berlaku di asrama ataupun sekolah anda di blog ini.Sediakan laporan(tidak formal)/cerita beserta gambar(jika ada).Emelkan cerita anda beserta gambar ke hostelinc@yahoo.com. Aktiviti yang anda hantarkan akan disiarkan di blog ini. Terima Kasih...