::PENGENALAN::

'HOSTEL INC' adalah singkatan bagi 'HOSTEL INCORPORATION' yang boleh didefinisikan sebagai 'PENGGABUNGAN ASRAMA'.Penggabungan asrama ini membawa maksud kesepakatan pelajar asrama yang boleh membentuk sebuah komuniti.Blog ini dibina bagi dimanfaatkan oleh pelajar yang tinggal di asrama,ingin tinggal di asrama ataupun pernah tinggal di asrama secara khususnya.Di blog ini anda boleh berbincang, menyelesaikan persoalan,ataupun menyumbang pendapat yang merangkupi aspek asrama ataupun persekolahan anda.Peroleh pelbagai maklumat,tips-tips ataupun pengajaran dari HOSTEL INC ini...Semoga Berhibur di HOSTEL INC...Terima Kasih

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan keluarga serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara

ASRAMA GEMILANG

Kehidupan Di Asrama Cemerlang
Melahirkan Pelajar Gemilang
Amalkanlah Erti Persemi Kata
Untuk Kemajuan Insan Semua

Kemajuan Takkan Datang Sendiri
Andai Kita Tak Usaha Mencari
Oleh itu Wahai Insani
Kita Tanamkan Tekad Di Hati

Kalau Kita Mengejar Kemajuan
Jangan Lupa Rabbul Izzati

Perpaduan Takkan Datang Sendiri
Andai Al-Quran Tak Dihayati
Mari Kita Bersatu Hati
Kearah Asrama Yang Harmoni

Amalkanlah Sunnah Rasul Mulia
Lupakanlah Segala Sengketa Lama
Hubungkan Kembali Ikatan Mesra
Supaya Kita Hidup Aman Sentosa

NILAI-NILAI MURNI

TEGUH MENGHAYATI TAUFIK DAN HIDAYAH ALLAH BERLANDASKAN KECEMERLANGAN

IMBANGAN IMAN AMAL KEGIGIHAN USAHA UNTUK ILMU PENINGKATAN KEPERIBADIAN LUHUR

MELALUI:

BERANI
IKRAM
ILTIZAM
MUHASABAH DIRI
KEKUATAN MUNAJAT
KESYUKURAN

Saturday, May 3, 2008

KENAPA BOSAN TINGGAL DI ASRAMA????

Hantarkan komen atau respons anda.....

Tazkirah Remaja: Perlu tahu urus masa


MASA boleh dikatakan sebagai senjata tajam, amat bermanfaat dan menguntungkan manusia, sekiranya digunakan dengan baik dan betul. Sebaliknya, jika tidak betul atau tidak cermat cara penggunaannya, ketajamannya akan memakan diri.


Bagi sesetengah orang, ia diibaratkan dengan pedang, jika tidak digunakan untuk mencantas, ia akan memotong diri.

Remaja yang tidak tahu memanfaatkan masa akan mewarisi seribu ketinggalan sama ada dalam pelajaran, pemikiran, pergaulan, teknologi, politik dan agama.


Bukan sekadar tertinggal di belakang saja, malah dia berdepan segala keburukan akibat ketajaman masa yang silap penggunaan, akhirnya memotong dan mencantas peribadi manjadi tidak bermoral dengan lepak, menjadi penyamun dengan memeras, membunuh dan segala kerosakan lain.


Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa, bukan sekali dua, malah berpuluh kali sehingga ada satu surah dalam al-Quran yang dipanggil dengan surah al-Asr (Masa).


Bukan itu saja, malah Allah menghantar dua malaikat kepada manusia untuk mencatat segala yang dilakukan individu pada setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun hingga ke akhir hayat manusia.


Rasulullah memberikan peringatan kepada kita, bagaimana memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.


Masa muda jangan dipersia-siakan kerana ia masa yang penuh dengan kecergasan fizikal dan mental.


Kecergasan ini sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin sebab apa yang akan terjadi pada hari tua ditentukan mengikut apa yang kita lakukan ketika muda.


Masa muda tidak bertahan lama dan apabila tiba masa tua keremajaan hanyalah kenangan. Masa tua adalah segalanya, kadangkala tidak indah, tenaga sudah lemah, selera sudah menurun dan dilanda sakit-sakit.


Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas gemilang, manakala remaja yang kecundang menguruskan masa muda akan menjadi warga tua malang. Tidak selesai di dunia saja, malah di akhirat akan dipersoalkan umur remaja, bagaimana dilaluinya?


Kesihatan adalah nikmat sangat berharga. Badan kita adalah milik Allah. Wajib kita menjaga amanah ini. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri ke dalam ‘kebinasaan.’


Ramai yang tidak menghargai nikmat ini dan buktinya ramai kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ketagihan rokok dan alkohol serta lumba haram, yang akhirnya membawa kecacatan dan kesengsaraan.


Ingatlah hidup tidak selesai di sini saja. Malah, di akhirat nanti akan ditanya kesihatan kita bagaimana ia digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya? Badan sihat bukan digunakan untuk menyamun, merompak, memeras dan meragut.


Badan saja besar, main bola boleh sampai berjam-jam, tetapi solat beberapa detik tidak larat. Berjaga malam dan berkaraoke sampai pagi mudah saja, tetapi untuk solat Subuh hanya dua rakaat terus lentok. Ingatlah akhirat nanti akan ditanya.


Kekayaan tidak kekal, malah ia boleh bertambah dan hilang musnah sekelip mata. Justeru kekayaan adalah amanah, mendapat dan menggunakannya mengikut peraturan Allah.


Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan dilaknat dan diazab atau pun tidak menjadi Tha’labah yang kaya tetapi subur dengan kebakhilan.


Barang diingat kekayaan adalah alat dan kemudahan untuk mencapai kebaikan atau keburukan. Dengan harta kita menjadi dermawan, dengan harta juga memudahkan kita menjadi tamak wang, dengan harta boleh ke syurga. Ke neraka pun terkadang bermodalkan harta.


Peluang terakhir yang amat penting dan tidak mungkin dicuaikan ialah masa hidup sebelum mati.


Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedia dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (kenikmatan) selepas mati.”


Demikianlah lima kesempatan masa yang mesti dijawab oleh manusia. Menjawab bukan dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan amalan.

Cemerlang di dunia, akhirat

MENJADI manusia cemerlang idaman semua orang. Seorang pekerja mahu menjadi pekerja cemerlang, dikagumi dan dihormati. Pelajar juga tentu selalu bercita-cita atau paling kurang berangan-angan menjadi pelajar cemerlang.

Ibu bapa juga selalu berharap dapat menggalas tanggungjawab dengan cemerlang, begitu juga suami isteri tentu mahu menjadi pasangan cemerlang untuk pasangannya.

Namun apa itu cemerlang? Apakah seseorang itu dianggap cemerlang apabila telah melepasi piawaian yang ditetapkan seperti pelajar yang mendapat semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Benar ini adalah kecemerlangan yang mesti diusahakan semua pelajar juga semua orang, namun ada lagi kecemerlangan hakiki yang jangan sekali-kali terlepas iaitu kecemerlangan sebagai seorang hamba Allah yang dapat mendiami syurga di alam akhirat.

Kecemerlangan bermula dari dalam diri. Keimanan dan ketakwaan dapat mengubah diri malah mampu mengubah dunia.

Allah berfirman dalam surah at-Talaq, ayat 2-3 bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia (Allah) akan mengadakan baginya jalan keluar dan Allah akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Bagaimana mahu menjadi seorang yang bertakwa? Soalan ini pernah ditanya Umar bin al-Khattab kepada sahabat, Ubai bin Kaab.

Ubai berkata: Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?

Jawab Umar: Ya, pernah.

Ubai bertanya lagi: Apakah yang kamu lakukan ketika itu?

Umar berkata: Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh.

Ubai berkata: Itulah takwa.

Abdullah bin Mas’ud mentafsirkan takwa sebagai melaksanakan ketaatan, tidak melakukan maksiat, sentiasa mengingati Allah, tidak lalai, sentiasa bersyukur dan tidak kufur.

Islam tidak memandang kecil kecemerlangan di dunia. Malah, kecemerlangan di dunia dapat menjadi alat untuk mencapai kecemerlangan di akhirat.

Orang bertakwa yang cemerlang di dunia akan cemerlang di akhirat. Seorang yang mahu cemerlang di dunia akhirat boleh menjadikan tip ini sebagai panduan.

Pertama: Laburkan masa untuk merancang hidup

Kedua: Tentukan matlamat kerana matlamat yang jelas memudahkan perjalanan hidup agar tidak menjadi seperti kapal tanpa nakhoda yang hanyut dipukul ombak.

Ketiga: Tentukan keutamaan dalam hidup anda, letakkan kehendak Allah di depan.

Keempat: Lakukanlah perkara yang betul dan buat betul-betul. Jangan membazir masa dengan melakukan benda sia-sia.

Kelima: Utamakan kerja yang penting daripada yang kurang penting. Jangan melengah-lengahkan kerja yang penting kerana ia boleh menjadi kerja yang sukar nanti.

Keenam: Jangan berazam mahu menjadi sangat sempurna, kerana hanya Allah Yang Maha Sempurna. Jika kita tidak mahu mencuba kerana takut gagal, kita takkan ke mana-mana. Jangan buang masa dengan perasaan was-was.

Ketujuh: Buangkan sikap suka menangguhkan kerja, umpama orang yang diamanahkan membawa beras seguni sehari tetapi menangguhkan hingga sepuluh hari, akhirnya tidak mampu dia hendak memikul sepuluh guni beras sekali gus.

Kelapan: Belajar untuk berkata TIDAK pada perkara yang tidak penting dan sia-sia. Jadilah seorang yang tegas pada diri sendiri.

Kesembilan: Hargailah diri anda sendiri, buat yang terbaik untuk diri anda agar dapat mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.




Tiada manusia terlepas daripada iblis

IBLIS juga makhluk, cuma ia dicipta daripada api, lebih awal daripada manusia.

Disebabkan dengkinya dan berasa diri lebih mulia, ia tidak mahu mematuhi perintah Tuhan supaya memberikan penghormatan kepada Nabi Adam.

Disebabkan sikapnya yang begitu bongkak sehingga meng ingkari perintah Tuhan, ia menjadi hamba yang kafir dan disediakan kepadanya neraka yang tidak terperi azabnya.

Ia menerima ketentuan itu walaupun mengetahui akan dimasukkan ke dalam neraka. Justeru, ia mencari teman daripada keturunan Adam iaitu manusia dengan meminta dua perkara daripada Allah: agar diberikan usia yang panjang iaitu tidak mati sehingga Hari Kiamat dan dibolehkan menggoda semua manusia sepanjang masa.

Perkara ini ada diceritakan dalam al-Quran. “Setelah selesai kejadian Adam, maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali. Melainkan Iblis. Ia enggan turut bersama mereka yang sujud.

Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, berasal dari tanah lumpur yang berbentuk.”

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarkanlah engkau daripadanya kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah terkutuk.“Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat.”

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan.”

Allah berfirman: “Maka sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari masa yang termaklum.”

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah me nyesatkan aku, maka sungguh aku akan perhiaskan kejahatan kepada manusia di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-Mu yang yang ikhlas di antara mereka.”

Allah berfirman: “Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-Ku, tidaklah ada bagimu kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang yang sesat.” (al-Hijr:30-42)

Iblis pandai memujuk rayu untuk menyesatkan manusia, datang pada setiap waktu dari pelbagai penjuru, malah dapat memasuki badan manusia, sehingga berjalan di dalamnya seperti mengalirnya darah, bersembunyi dalam hati dan tinggal dalam akal manusia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda maksudnya: “Sesung guhnya syaitan (iblis) berjalan pada manusia di pembuluh darah (semua yang boleh dilalui darah).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila ia di hati, manusia akan menjadi was-was dan khuatir tidak menentu dalam perkara kebaikan, malah mem benci kebaikan dan gemar kepada yang salah. Jika ia bersarang di akal, manusia asyik memikirkan ke untungan peribadi sahaja, tanpa mempedulikan hak dan kebajikan orang lain.

Demikian juga jika ia bertempat dalam badan atau anggota badan manusia, membuatkan manusia lebih suka kepada kemungkaran, benci kepada ketaatan, gemar kepada perkara yang bertentangan dengan kebenaran.Semua manusia termasuk rasul, nabi, ilmuan dan cendekiawan didatangi iblis, dirayu dan mahu disesatkan seboleh-bolehnya.

Nabi Adam dapat dirayu oleh iblis hingga membuatkannya terkeluar dari taman keindahan.

Iblis juga memujuk rayu putera Nabi Adam, Qabil sehingga beliau membunuh saudaranya Habil.

Hati Zulaikha juga dimasuki iblis hingga merayu Nabi Yusuf.

Qarun yang kaya-raya juga tewas dengan pujuk rayu iblis hingga membuatkan beliau berasa sombong, tidak mahu mentaati perintah Allah sehingga beliau dan kekayaannya ditelan bumi.
Sehingga hari ini apabila terjumpa harta benda di perut bumi, manusia menggelarkannya harta karun sempena nama Qarun.

Tujuan iblis ialah supaya manusia mengikuti jejaknya, tidak mentaati Allah dan melanggar segala perintah-Nya sehingga sama-sama memasuki neraka.

“Dan sesungguhnya neraka jahanam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutmu.” (al-Hijr:43)

Kelicikan iblis dapat mengaburi manusia jika imannya pudar, luntur dan tidak dibajai dengan mengingati Allah. Tetapi mereka yang terpedaya dengan iblis semestinya me nyesal kemudian hari walaupun pada peringkat awal dibuai keseronokan.

Dalam menghadapi orang beribadat misalnya, iblis berusaha menampakkan perbuatan yang baik, malah berpura-pura turut bersolat. Ia turut sama melakukan rukun dan perkara sunat dalam solat, tetapi lama-kelamaan ia cuba bertenggek di hati orang terbabit.

Tindakan iblis itu menyebabkan orang terbabit berasa was-was terhadap ibadat yang dilakukan, malah disebabkan terpengaruh dengannya sama ada sedar atau tidak, setiap pergerakan rukun dipandang remeh sehingga kadangkala tidak begitu sempurna.

Bagi suami yang rajin beribadat juga iblis tidak lupa membisikkan tipu dayanya supaya hanya beribadat tanpa melakukan pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga, anak dan isteri. Begitu juga si isteri, dibisikkan supaya sentiasa berasa tidak cukup dengan pemberian suami.

Si miskin ditanamkan iblis rasa kebencian dan iri hati kepada orang berharta sehingga berasa tidak yakin dengan keadilan Allah. Mereka yang hartawan juga dipengaruhi kononnya semua harta terbabit adalah diri sendiri yang punya, jadi tidak perlu diagihkan kepada fakir miskin.

Pendek kata semua manusia tidak terlepas daripada godaan, pujuk rayu dan pengaruh iblis. Cuma bezanya ialah se setengah mereka yang kuat iman dapat melepasi godaan itu, manakala yang lemah iman terjerumus ke dalam perangkapnya.

Friday, May 2, 2008

ETIKA PELAJAR

Pelajar adalah aset penting Negara. Mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan yang amat penting. Masa depan Negara bergantung penuh kepada mereka. Jauhi salahlaku seperti Vandalisme dan Gansterisme yang boleh merosakkan diri dan masa depan. Tumpukan sepenuh usaha untuk mencapai kecemerlangan diri, akedemik dan ko-kurikulum untuk menjadi manusia yang berguna di masa depan.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP DIRI SENDIRI

  • Menjaga kebersihan diri, fizikal, mental dan rohani
  • Bersopan, jujur dan amanah
  • Menghargai masa dan menepati masa berjimat cermat
  • Bersifat sederhana dan tidak sombong
  • Sabar dan bertolak ansur
  • Menghormati hak asasi orang lain
  • Berani dan cekal hati
  • Bersikap dedikasi dan berdikari
  • Bersifat rajin dan berusaha
  • Berjuang mencapai kecemerlangan dalam semua bidang

TANGGUNGJAWAB TERHADAP KELUARGA

  • Menghormati orang tua dan ibubapa
  • Memupuk hubungan yang baik sesame ahli kaluarga
  • Memenuhi hasrat dan cita-cita keluarga untuk menjadikan seorang berpendidikan dan bermoral tinggi
  • Menjaga nama baik keluarga
  • Menghormati sahabat/kenalan keluarga

TANGGUNGJAWAB PELAJAR TERHADAP SEKOLAH



  • Mematuhi dan menghormati peraturan-peraturan sekolah

  • Menghormati guru-guru dan staf

  • Belajar bersungguh-sungguh

  • Menaikkan imej sekolah dalam semua bidang

  • Memupuk dan menghayati nilai-nilai moral yang tinggi

  • Bekerjasama dan bersatu padu tanpa mengira kaum

  • Menceburi aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh sekolah

  • Menggunakan dan menghargai kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh sekolah dengan baik

TANGGUNGJAWAB PELAJAR TERHADAP AGAMA



  • Taat kepada perintah Allah

  • Mempertahankan kesucian Agama

  • Mendalami, mengamalkan ajaran Agama dalam kehidupan harian

  • Menuntut ilmu sebagai memenuhi tuntutan agama

  • Menyebarluaskan nilai keagamaan di kalangan masyarakat

TANGGUNGJAWAB PELAJAR TERHADAP MASYARAKAT



  • Tolong menolong dan bekerjasama

  • Menghormati orang-orang yang lebih tua

  • Suka bertolak ansur

  • Menghormati agama, pantang larang dan adat resam bangsa lain

  • Bersifat toleransi

  • Rasa bersefahaman dan sabar

  • Melibatkan diri dalam aktiviti khidmat masyarakat/kabajikan

  • Bersifat kasihan terhadap sesama manusia dan haiwan serta alam sekitar

  • Memelihara kerukunan hidup berjiran

  • Mempertahankan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia daripada pencemaran budaya

TANGGUNGJAWAB PELAJAR TERHADAP NEGARA



  • Mencintai dan bersedia untuk mempertahankan Negara

  • Mematuhi undang-undang

  • Menjaga dan menaikkan imej Negara

  • Memelihara perpaduan dan kerukunan hidup rakyat Malaysia

  • Menjaga kemudahan-kemudahan awam

  • Memelihara dan mempertahankan keindahan semulajadi Negara

.::PEMBERITAHUAN::.

Anda turut boleh memuatkan aktiviti-aktiviti yang berlaku di asrama ataupun sekolah anda di blog ini.Sediakan laporan(tidak formal)/cerita beserta gambar(jika ada).Emelkan cerita anda beserta gambar ke hostelinc@yahoo.com. Aktiviti yang anda hantarkan akan disiarkan di blog ini. Terima Kasih...